
UMNO tidak perlu orang bijaksana tetapi hanya menyusahkan parti – Zahid
UMNO perlukan ahli yang setia dan tahan diuji, tidak lari apabila parti bukan menjadi sebahagian daripada kerajaan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu berkata, parti itu tidak memerlukan ahli yang cerdik pandai tetapi banyak menyusahkan seperti mana yang berlaku sebelum ini tatkala UMNO berdepan dengan ujian yang cukup hebat apabila harta milik parti dirampas dan akaun dibeku.
“Saya dan ramai pemimpin diuji. Kalau malaikat pun dijadikan Presiden UMNO ketika itu, mungkin dia pun lari (pada sebelah) malam.
“Tapi rakyat tetap pertahan UMNO. Kita tak perlukan orang bijaksana tetapi hanya menyusahkan, kita tidak perlu orang kaya tetapi menghabiskan.
“Kita hanya mahukan ahli yang amanah dan taat setia kepada parti,” katanya berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading di Dewan Orang Ramai Parit Raja di Batu Pahat, semalami.
Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, parti itu bukan sahaja memerlukan ahlinya yang setia tetapi juga tidak lari semasa dicabar dengan pelbagai ujian.
Jelasnya, ini termasuk apabila UMNO diuji lebih-lebih lagi semasa hilang kuasa sebelum ini.
Ahmad Zahid yang juga pengerusi BN menghargai sokongan dan kesetiaan MIC dan MCA semasa gabungan politik tersebut berada dalam kejatuhan.
“Perjuangan ini adalah satu gerakan yang tersusun dan kita harus mengiktiraf sokongan masyarakat India yang datang daripada MIC dan MRC,” katanya.