
Fahmi ketuai delegasi Malaysia ke sidang WSIS Geneva
MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengetuai
DELEGASI Malaysia ke Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Masyarakat Bermaklumat+20 Acara Peringkat Tinggi (WSIS+20) yang berlangsung dari 7 hingga 11 Julai 2025 di Geneva, Switzerland akan diketuai Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut kenyataan rasmi Kementerian Komunikasi hari ini, penyertaan Malaysia dalam WSIS+20 adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekosistem teknologi komunikasi negara yang inklusif, mampan dan seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Penyertaan ini membawa pelbagai manfaat strategik kepada negara, termasuk pengiktirafan global terhadap kepimpinan Malaysia dalam peluasan capaian internet di kawasan luar bandar, keterangkuman teknologi komunikasi serta inisiatif memperkasakan celik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) rakyat, selaras dengan nilai kesejahteraan yang didukung oleh Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.
Dalam sidang berprestij anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, Malaysia turut mengambil peluang memperkenalkan beberapa inisiatif utama negara seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai pencapaian penting dalam usaha mendigitalkan masyarakat dan memperluas jaringan komunikasi negara.
WSIS merupakan platform antarabangsa yang menghimpunkan pemimpin dunia bagi memperkasa penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pembangunan mampan.
Sidang ini merangkumi 11 bidang tumpuan utama dalam Garis Tindakan WSIS, antaranya infrastruktur digital, pembangunan kapasiti, keselamatan siber dan persekitaran sokongan.
Dalam perkembangan berkaitan, WSIS turut memperkenalkan Anugerah WSIS sejak tahun 2012 bagi mengiktiraf projek teknologi berimpak tinggi di peringkat global.
Sehingga kini, sebanyak 234 pemenang dan 648 juara telah menerima pengiktirafan berprestij ini.
Sepanjang berlangsungnya WSIS+20, Fahmi dijadualkan mengadakan lebih daripada 10 mesyuarat dua hala bersama rakan sejawat dari pelbagai negara termasuk United Kingdom, Arab Saudi, Poland, Somalia, Greece, Rusia dan Algeria. Beliau juga dijadualkan mengadakan pertemuan khas bersama Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Doreen Bogdan-Martin.
Penyertaan Malaysia dalam WSIS+20 dijangka dapat mengukuhkan peranan negara sebagai peneraju serantau dalam transformasi teknologi komunikasi serta memperluas kerjasama strategik dengan komuniti antarabangsa dalam bidang digital.