Malaysian News

PRN: Peluang rakyat Sabah tentukan mandat baharu – Salleh

PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang akan berlaku tidak lama lagi bukanlah satu perkara mengejutkan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada proses demokrasi yang biasa.

Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, penggal semasa hampir ke penghujung dan berdasarkan peruntukan undang-undang, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah mesti diadakan dalam tahun ini bagi memberi peluang kepada rakyat untuk memperbaharui mandat.

“Dalam sistem demokrasi, pembubaran DUN menandakan tamatnya satu penggal dan kuasa dikembalikan kepada rakyat untuk membuat penilaian terhadap wakil rakyat dan parti yang telah dipilih,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri Usukan di Facebook.

Beliau yang merupakan Bendahari UMNO berkata, ketika suhu politik semakin meningkat, aktiviti politik turut semakin rancak dengan pelbagai program dan kenyataan daripada parti-parti politik dan pemimpin-pemimpin mereka.

“Namun realitinya, ramai rakyat telah pun membuat keputusan. Mereka tahu siapa yang sentiasa turun padang dan memahami denyut nadi kehidupan seharian, berbanding mereka yang hanya muncul ketika hampir pilihan raya,” katanya.

Salleh menegaskan, dalam politik berasaskan parti, kesetiaan bukan sesuatu yang boleh digugat dengan mudah, terutama bagi parti yang telah lama bertapak dan berkhidmat.

“Seperti seseorang yang sudah biasa minum Coke, bukan mudah baginya untuk menerima Pepsi. Dalam politik juga begitu, kesetiaan bukan sekadar soal jenama, tetapi soal kepercayaan yang telah dibina sejak sekian lama,” katanya.

Salleh menambah, tumpuan utama kini adalah kepada pengundi muda dan pengundi atas pagar yang tidak terikat dengan mana-mana parti tetapi peka terhadap isu, prestasi dan perkembangan semasa.

“Oleh itu, parti-parti politik mesti tampil dengan mesej yang jelas dan tawaran yang meyakinkan. Mereka perlu menangani isu kehidupan sebenar dan bukan sekadar bersandar kepada slogan atau pengumuman sementara,” katanya.

Justeru, Salleh mengingatkan bahawa masa depan Sabah tidak boleh dipertaruhkan dengan retorik semata-mata, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang stabil, dasar yang mantap serta komitmen yang ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Pilihan raya akan datang ini adalah saat penting untuk semua pihak, baik parti mahupun rakyat dalam membuat penilaian yang matang dan memperbaharui tekad untuk membina sebuah Sabah yang lebih stabil, adil dan makmur,” katanya.

Back to top button