
Pembangunan desa tidak tertinggal dalam RMK13 – Zahid
KERAJAAN MADANI akan terus memastikan komuniti desa diberi perhatian utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, agenda pembangunan desa tidak terkecuali daripada agenda kerajaan terutamanya dalam RMK13.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memaklumkan telah menerima kunjungan delegasi Kementerian Ekonomi yang diketuai Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, bagi memperhalusi peringkat akhir perancangan RMK13 yang dijangka dibentangkan tidak lama lagi.
“Pertemuan ini bertujuan memperhalusi fasa akhir perancangan RMK13, khususnya bagi memastikan agenda pembangunan desa terus diberikan perhatian dan peruntukan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Ahmad Zahid menegaskan, RMK13 akan menjadi pemangkin utama pembangunan negara, merangkumi keperluan semua lapisan rakyat termasuk komuniti luar bandar sekali gus turut menekankan kepentingan bidang seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri halal serta pengurusan bencana.
“Insyallah, segala yang dibincangkan hari ini akan diteliti sebaiknya demi merangka dasar yang benar-benar memberi impak menyeluruh, bersifat inklusif, mampan dan berorientasikan rakyat,” katanya.