Madani News

Malaysia, Vietnam pantau gencatan senjata Thailand-Kemboja

MALAYSIA dan Vietnam sependapat mengenai kepentingan meneruskan pemantauan terhadap pelaksanaan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand bagi menjamin keamanan dan kestabilan berterusan di rantau ASEAN.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dipersetujui semasa perbualan telefon dengan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, hari ini.

“Kami menyambut baik kemajuan positif dalam rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja, termasuk lawatan pasukan pemantau yang diterajui Malaysia ke kawasan terlibat.

“Kedua-dua pihak turut menegaskan kepentingan pemantauan berterusan bagi memastikan kestabilan dan keamanan rantau ASEAN,” katanya di Facebook.

Kemboja dan Thailand sebelum ini bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan mesyuarat khas pada Isnin lalu, yang melibatkan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dengan Anwar selaku hos dan Pengerusi ASEAN.

Sementara itu, Anwar berkata mereka turut bertukar pandangan mengenai isu global termasuk tarif yang dikenakan Amerika Syarikat, di samping meneroka kerjasama masa depan dalam bidang inovasi, keselamatan tenaga dan inisiatif ASEAN Power Grid.

Dalam perbualan sama, Perdana Menteri turut menyambut baik kesediaan Vietnam menghantar delegasi peringkat menteri bagi memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, kedua-dua pihak juga akan terus berhubung menjelang pertemuan akan datang yang dijadual berlangsung di China, awal September ini.

Back to top button