Madani News

RMK13 teraju pembangunan negara lebih mampan – Fahmi

RANCANGAN Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertemakan Melakar Semula Pembangunan disifatkan refleksi atau terjemahan kepada wadah yang akan dibawa Kerajaan MADANI bagi tempoh 2026 sehingga 2030.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dasar tersebut memahami pelbagai peluang yang wujud dengan trend mega serta cabaran domestik yang ada, selain mencakupi semua dimensi termasuk kemampanan ekonomi, kesejahteraan rakyat, kelestarian alam serta pengukuhan tatakelola.

Menurutnya, RMK13 merangkumi tiga teras utama iaitu, meningkatkan siling pendapatan negara di samping meningkatkan pendapatan rakyat serta perkukuh tatakelola yang progresif.

“Terdapat empat tunggak dan sembilan tumpuan seperti yang diumumkan secara umumnya fokus peralihan secara menyeluruh bagi tempoh lima tahun akan datang termasuk aspek pendigitalan dan teknologi baru muncul ataupun teknologi termaju khususnya kecerdasan buatan (AI) yang mana kita berharap dalam tempoh lima tahun akan datang menjadikan Malaysia antara negara berteraskan AI utama di dunia.

“Kita juga akan memberi pengkhususan dan menjadikan insan MADANI sebagai teras serta masyarakat bersatu di bawah pendekatan keseluruhan negara,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan, pihaknya akan memberi tumpuan kepada pembangunan serta pengukuhan ekosistem industri kreatif sebagai salah satu komponen ‘high growth, high value’ (HGHV) dalam RMK13.

Jelasnya, usaha itu diharapkan dapat meningkatkan daya saing melalui penghasilan karya yang mempunyai nilai komersial tinggi untuk dinimati masyarakat tempatan serta luar negara, selain membangunkan bakat kreatif serta memantapkan rantaian nilai industri kreatif.

“Bagi kementerian komunikasi kita akan kerahkan MyCreative Ventures dari aspek pendanaan dan finas dari aspek pensijilan dan pelesenan utk ambil apa diarahkan PM iaitu beri fokus kepada animasi di situ kita akan beri tumpuan sama ada melalui dana padanan atau melalui inisiatif-inisiatif lain.

“Kita juga akan membantu dalam usaha membantu memperkukuhkan pembangunan ekonomi digital melalui infrastruktur digital yang akan ditambah baik untuk meningkatkan capaian internet khususnya berkelajuan tinggi. Jadi fokus kita melalui ikhtiar dan inisiatif untuk pastikan capaian internet meluas internet, murah untuk rakyat dan paling penting menjadi selamat untuk kanak kanak dan keluarga,” katanya.

Back to top button