Madani News

Pembelian 30 pesawat Boeing dengan AS bukti ekonomi semakin kukuh- Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan keputusan Malaysia Airlines membeli 30 pesawat Boeing dengan Amerika Syarikat (AS) memberi petunjuk ekonomi negara bertambah baik.

Perdana Menteri berkata, langkah itu bukan sahaja telah mengurangkan tarif AS terhadap Malaysia malah menjadi strategi diplomasi perdagangan dengan AS.

“Alhamdulillah saudara-saudara, sebab apa? Sebab politik kita stabil. Ekonomi kita membangun. Dalam rundingan kita soal tarif dengan AS yang melibatkan juga soal pertanian. Kita hendak pertahankan kepentingan kita. Ya kita setuju dalam banyak hal termasuk beli pesawat.

“Orang serang kita beli pesawat, kita kena beli dari mana? Nak beli di mana? Dia sama ada Boeing Amerika atau Airbus Perancis atau yang kecil-kecil lain,” katanya dipetik Buletin TV3.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di Kota Kinabalu, kelmarin.

Tambahnya, Malaysia Airlines menerusi Malaysia Aviation Group (MAG) sejak dua tahun lalu telah berunding mengenainya kini sudah diurus dengan lebih baik dengan mencatatkan keuntungan pertama kali tahun lalu.

“Pertama kali tahun lalu, catat untung. Sebab kita tak sakau, kita tegaskan urusan mesti baik. Jadi Malaysia Airlines putuskan nak beli 30 Boeing dari Amerika dan beberapa lain Airbus untuk yang besar dari Perancis,

“Signed dah empat lima bulan yang lalu. Tapi kita meterai bila Trump tanya, kita kata yalah kita akan beli Boeing dari Amerika Syarikat,” katanya.

Terdahulu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia bersetuju untuk membeli 30 lagi pesawat Boeing dari AS bernilai $AS9.5 bilion sebagai komitmen memperkukuh hubungan perdagangan dua hala kedua-dua negara.

Langkah itu susulan rundingan yang membawa kepada pengurangan tarif AS ke atas Malaysia sebanyak 19 peratus berbanding 25 peratus.

Pembelian pesawat berkenaan juga sebahagian daripada beberapa komitmen perdagangan Malaysia dalam rundingan berkenaan.

Pembelian pesawat Boeing oleh MAG juga jelas Tengku Zafrul bukanlah pembaziran wang cukai rakyat, sebaliknya merupakan keputusan perniagaan strategik yang dirancang lebih awal dan dibiayai menggunakan dana syarikat

Back to top button