
Jalur Gemilang terbalik:Tindakan tegas akan diambil terhadap SJKC Chung Hua- Fadhlina
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) memandang serius isu pemasangan Jalur Gemilang terbalik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Port Dickson, kata Menterinya, Fadhlina Sidek.
Fadhlina berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap sekolah berkenaan berhubung kesilapan itu.
Bagaimanapun katanya, beliau menunggu laporan penuh siasatan sebelum tindakan seterusnya dilanjut diambil.
“Kita sedang menunggu siasatan penuh dan saya tegaskan di sini sebaik kita memperoleh laporan berkenaan, tindakan akan diambil berdasarkan hasil siasatan.
“Berkait pemasangan bendera ini, kita sudah mengingatkan isu ini secara berulang kali dan masalah sama tidak sepatutnya berlaku.
“Saya sentiasa mengingatkan dari sudut sensitiviti, tanggungjawab dan komitmen berhubung Jalur Gemilang terutama ketika kita dalam menuju Hari Kebangsaan dan kesilapan ini tidak sepatutnya berlaku.
“Kita akan mengambil tindakan tegas dalam soal kesalahan mempamer Jalur Gemilang ini,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Fadhlina berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan Kepada Murid Tingkatan Enam Semester Satu Tahun 2025, di Kota Bharu, semalam.
Terdahulu, media melaporkan SJKC Chung Hua Port Dickson memohon maaf secara terbuka, susulan insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di premis sekolah itu, Jumaat lalu.
Dalam kenyataan bersama Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pentadbiran sekolah, pihaknya meluahkan rasa kesal terhadap insiden terbabit yang disifatkan sebagai kecuaian tidak disengajakan.
Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku pada petang 1 Ogos apabila seorang pekerja sekolah memasang bendera sebelum tamat waktu bekerja, namun tanpa disedari satu daripadanya dipasang secara terbalik.