
Kematian pelatih PALAPES: Zambry arah UTM beri kerjasama penuh
KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memberi kerjasama penuh dalam siasatan kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.
Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menegaskan, pihaknya memberi jaminan tiada pihak akan dilindungi.
“Saya telah mengarahkan UTM mengambil langkah memastikan kerjasama sepenuhnya. Tidak ada usaha melindungi sesiapa, jika ada unsur tidak baik dilakukan kepada Allahyarham Haris,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga Allahyarham di kediaman mereka di Semenyih, hari ini.
Zambry berkata, siasatan telus akan dijalankan demi memastikan keadilan kepada keluarga.
“Kita tidak akan melindungi sesiapa. Paling mustahak, jawatankuasa siasatan memberikan laporan lengkap, sementara isu dibangkitkan keluarga diberi perhatian segera.
“Menteri Pertahanan telah memaklumkan jawatankuasa itu turut melibatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Tambah Zambry, maklum balas akan disalurkan kepada jawatankuasa selepas menerima penjelasan daripada ibu mangsa.
Syamsul Haris, 22, pelatih PALAPES UTM cawangan Skudai, meninggal dunia ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (PULADA). Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.