
Isu keselamatan negara tidak boleh dikompromi – Anwar
KERAJAAN sama sekali tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan negara, khususnya membabitkan isu penyeludupan di selatan tanah air.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, isu baru-baru ini yang membawa kepada penahanan lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), akan dibongkar sepenuhnya.
Beliau berkata, atas dasar itu, pihaknya sudah meminta Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar, supaya menyiasat perkara terbabit secara serius.
“Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) juga ambil berat perkara ini.
“Semalam menghadap Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim) dibangkitkan lagi perkara ini dan kita akan bongkar sepenuhnya kerana ini saya setuju. Ini soal keselamatan negara, tidak boleh berkompromi,” katanya.
Anwar berkata demikian pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.