
Anwar, Hun Manet bincang gencatan senjata Kemboja-Thailand
DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbincangan telefon dengan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet berhubung perkembangan terkini gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand.
Perdana Menteri menjelaskan, perbincangan turut menumpukan kepada usaha memastikan keamanan serta kestabilan di sempadan kedua-dua negara jiran.
“Kami juga menyentuh peranan pasukan pemerhati sementara (IOT) yang memantau kawasan sempadan, selain membincangkan langkah memperkukuh keberkesanan operasi mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Pada 28 Julai lalu, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menjadi tuan rumah mesyuarat di Kuala Lumpur yang menghimpunkan Hun Manet serta Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayacha.
Hasil mesyuarat itu, kedua-dua negara bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat sebagai langkah awal membina semula kepercayaan dan kerjasama.
Konflik di sempadan Preah Vihear tercetus pada 28 Mei lalu, mengorbankan 15 nyawa dan memaksa lebih 100,000 penduduk berpindah, sekali gus membangkitkan semula pertikaian lama membabitkan sempadan sepanjang 817 kilometer.