
Fahmi nafi arah kandungan kes Zara Qairina disekat
DATUK Fahmi Fadzil menafikan ada mengeluarkan kenyataan dan arahan untuk menyekat kandungan berkait kes Zara Qairina Mahathir.
Menteri Komunikasi itu yang juga jurucakap kerajaan menegaskan hantaran dimuat naik pemilik akaun Facebook Datu Bentan Alamin adalah fitnah.
“Saya tidak pernah sama sekali mengeluarkan kenyataan mahupun arahan seperti yang didakwa.
“Satu laporan polis telah dibuat terhadap pemilik akaun FB yang mencetuskan fitnah itu,” katanya di Facebook.
Beliau juga menyeru semua pihak menghentikan penyebaran fitnah dan tidak menunggang sebarang isu demi kepentingan peribadi.
“Termasuk menjadikan kes Zara Qairina sebagai bahan untuk dimanipulasi,” katanya.
Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi 16 Julai selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah.
Beliau meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I keesokannya.
Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos bagi membolehkan bedah siasat dijalankan susulan dakwaan kejadian buli.
Inkues bagi menentukan punca dan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara akan bermula 3 Sept ini.
Rabu lalu, lima remaja didakwa di Mahkamah Kanak-kanak di Kota Kinabalu, Sabah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.
Pertuduhan terhadap lima perempuan berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Mereka didakwa dalam mencapai niat bersama, menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina, 13, yang mana perkataan tersebut didengari oleh mangsa yang mungkin menyebabkan pelajar itu terganggu dengan perkataan tersebut.
Kelima-lima pelajar didakwa melakukan perbuatan itu di blok Asrama Rabiatul Adawiyah Dorm A-3-6, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan WDT 15, Papar antara jam 10 malam dan 11 malam, pada 15 Julai lepas.