Madani News

Anwar umum RM100 juta lagi untuk Gaza

DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian Malaysia terhadap Gaza dan Palestin tidak pernah berganjak mahukan negara itu bebas daripada cengkaman kezaliman rejim Zionis.

Justeru, Perdana Menteri telah mengumumkan sekali lagi peruntukan sebanyak RM100 juta bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri pada malam Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi.

“Malam ini, saya mengumumkan bagi pihak Kerajaan MADANI…kita telah luluskan RM100 juta dua tahun lalu.

“Dan malam ini saya isytiharkan kerajaan Malaysia akan bagi dana RM100 juta lagi sebagai permulaan,” katanya ketika berucap di hadapan puluhan ribu yang hadir menyatakan solidariti buat Palestin.

Anwar turut menyeru syarikat-syarikat korporat agar turut prihatin terhadap penderitaan rakyat Palestin dan menghulurkan sumbangan kemanusiaan.

Dalam pidatonya Anwar menyelar penjajahan rejim Zionis yang zalim sama seperti haiwan.

Sambil membidas Perdana Menteri Israel sebagai orang kurang siuman apabila menuduh warga Gaza termasuk kanak-kanak sebagai kumpulan Hamas.

“Ini bukan manusia ini haiwan, orang lapar mati kebuluran, bahan makanan di sempadan tak boleh masuk, orang sakit perlu ubat.

“Ubatnya dipagar (tidak dibenarkan), tidak boleh masuk, manusia paling teruk pun tidak sebegini. Nentanyahu dan kelompoknya memang kurang siuman, zalim,” katanya.

Back to top button