
Bukti kerajaan iktiraf pekerja gig – Zahid
KELULUSAN Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 membuktikan kerajaan tidak meminggirkan lebih 1.2 juta pekerja dalam industri itu, sebaliknya mengiktiraf peranan mereka sebagai nadi ekonomi negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, RUU berkenaan menjamin perlindungan sosial pekerja gig yang lebih sistematik.
“Industri gig bukan lagi fenomena sementara. Ia telah menjadi nadi baharu ekonomi negara, melibatkan bidang seperti p-hailing, e-hailing, freelancer digital dan pelbagai perkhidmatan atas talian yang menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Namun, realitinya sebelum ini ramai pekerja gig masih bekerja tanpa jaminan keselamatan sosial, hak dan suara yang jelas dalam sistem perundangan,” katanya di Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid menegaskan pelaksanaan RUU itu perlu dibuat secara telus, menyeluruh dan berkesan, termasuk melalui penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) bagi mengawal selia serta memantau perkembangan sektor berkenaan.
Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) atas dedikasi merangka RUU berkenaan yang disifatkannya bukti kerajaan sentiasa mendengar denyut nadi rakyat.
Terdahulu, sektor itu melakar sejarah apabila RUU berkenaan diluluskan di Dewan Rakyat selepas tujuh tahun penggubalannya dilaksanakan.
RUU yang bakal membolehkan pekerja gig mendapat hak merunding gaji dan syarat kerja itu menerima sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara pada hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15.
RUU dengan 112 fasal itu dibentangkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, sebelum diluluskan selepas dibahaskan 23 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.