
Jangan salahkan PM, apa yang berlaku ketika ini adalah isu global – Zahid
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan peringatan tegas kepada semua pihak agar tidak menuding jari kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan berikutan kesan konflik Asia Barat yang mula dirasai negara ketika ini.
Beliau menjelaskan bahawa apa yang berlaku pada saat ini merupakan sebuah krisis global yang mana tempiasnya turut dihadapi oleh seluruh pelosok dunia, dan bukannya satu isu yang sengaja dicetuskan oleh pentadbiran dalam negara.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan bahawa semua pihak termasuk pembangkang tidak seharusnya menggunakan masalah global tersebut untuk diletakkan sebagai satu kesalahan di bahu kerajaan semata-mata.
“Cubalah…cubalah mereka (pembangkang) pergi ke Selat Hormuz sekarang atau cubalah mereka pergi ke negara (Asia) Barat, mereka lihat sendiri. Kita bernasib baik sebenarnya.
“Jangan asyik menggunakan masalah global ini sebagai satu kesalahan oleh pihak kerajaan. Ini hakikat yang harus kita terima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut mengenai situasi tersebut, beliau menyifatkan tindakan menyalahkan kerajaan dalam isu ini sebagai satu perbuatan yang tidak berpijak di bumi nyata memandangkan rantaian bekalan dan kestabilan ekonomi dunia sememangnya sedang terganggu akibat ketegangan di wilayah berkenaan.
Sehubungan itu, beliau meminta agar semua pihak menerima hakikat mengenai tekanan ekonomi global ini dengan lebih matang tanpa perlu mempolitikkan setiap kesan yang timbul demi kepentingan pihak tertentu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO, menekankan bahawa kerajaan sedang berusaha menangani kesan krisis global ini melalui pelbagai langkah strategik bagi memastikan rakyat tidak terlalu terkesan.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa memantau situasi dan akan bertindak sewajarnya bagi mengurangkan beban ekonomi kepada rakyat.
“Kita harus sedar bahawa ini bukan masa untuk saling menyalahkan. Sebaliknya, kita perlu fokus mencari penyelesaian bersama bagi menghadapi cabaran global yang semakin kompleks,” katanya.


