
Merdeka sebenar bebas rasuah, penyeludupan dan kartel -PM
KEMERDEKAAN sebenar Malaysia hanya dapat dicapai apabila negara membebaskan dirinya daripada rasuah, penyeludupan dan kartel yang sekian lama melemahkan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selama berdekad lamanya itulah perjuangan negara, ‘tetapi melalui kemahuan politik, kita boleh mengatasinya.
“Adakah kita berjaya menghentikan sepenuhnya perbuatan salah ini? Tidak, ia masih wujud.
“Itulah sebabnya semangat kemerdekaan bermaksud mempertahankan dan membebaskan negara ini daripada rasuah, penyeludupan dan segala kegiatan haram. Kita mesti terus berazam membebaskan rakyat kita dan menghapuskan amalan yang merosakkan ini,” katanya dalam Perutusan Khas Hari Kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian, Serdang, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Mengakui masih banyak perlu diperbaiki, Perdana Menteri menegaskan, usaha kerajaan memerangi segala bentuk kecurangan terhadap negara tidak pernah padam.
Menurutnya, isu membabitkan rakyat, termasuk pendidikan, kesihatan dan harga barang tidak pernah terlepas daripada dibincangkan dalam setiap mesyuarat Jemaah Menteri dan mencari jalan untuk menanganinya.
“Kerajaan MADANI memecahkan tembok kartel dan kita terus berperang. Saya panggil penguat kuasa dan katakan perangi mereka, perangi kartel dan kumpulan yang menggunakan cara haram dan khianat untuk merosakkan negara ini. Kita tidak tolak ansur.
“Kartel ayam kita pecahkan. Sudah berapa lama? Sudah puluhan tahun, mampu kita pecahkan, disebabkan tekad politik dan semangat rakan-rakan dalam bidang penguatkuasaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan semua.
“Apakah sudah sempurna? Tidak. Apakah sudah mampu kita hentikan penyeludupan? Tidak, masih ada dan sebab itu semangat kemerdekaan ini bermakna tekad kita merdeka dan melepaskan negara daripada segala bentuk kecurangan, rasuah dan kegiatan haram,” katanya.