Madani News

Anak muda kena pelihara perpaduan negara – PM

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru golongan belia agar terus memelihara perpaduan rakyat yang merupakan tunjang kekuatan negara.

Tegasnya, Malaysia antara negara berbilang kaum dan agama yang kekal bertahan dari segi keamanan, kesegaran ekonomi, kekuatan perpaduan serta keutuhan budaya.

“Keadaan ini berbeza jika dibandingkan dengan beberapa negara lain di rantau Asia mahupun di peringkat dunia, sekali gus menunjukkan keistimewaan Malaysia dalam mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di Serdang, hari ini.

Seramai 4,000 hadir terdiri daripada penjawat awam, agamawan, jentera perpaduan, pelajar sekolah, anggota badan beruniform, mahasiswa IPT, golongan belia, usahawan dan pekerja swasta.

Majlis amanat itu diadakan sebagai usaha menzahirkan hasrat dan harapan kepimpinan tertinggi kerajaan mengenai kepentingan menghayati semangat kemerdekaan serta menyemai patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dalam pada Anwar berkata,tindakan memecah belahkan Malaysia berdasarkan kaum mesti dihalang dengan tegas.

Menurutnya, tiada negara yang boleh bertahan sekiranya menerima hasutan kebencian antara kaum.

Jelasnya, Malaysia dengan sifatnya sebagai sebuah negara majmuk jauh lebih penting berbanding sentimen kampung atau daerah.

“Berilah cadangan apa pun, termasuk mutakhir ini, pembangunan semula bandar masih dilihat dari segi kaum, masih ditanam dan dihasut rasa takut.

“Kita tidak boleh mengenepikan kepentingan kaum masing-masing. Apa pun saya bicarakan, saya tetap Melayu, saya bangga dengan bahasa saya, bahasa Melayu dan kehebatan budaya Melayu yang agung.

“Tapi tidak wajar kebanggaan ini meremehkan, memadamkan, apa lagi menghina yang lain,” katanya.

Perdana Menteri berkata, isu perpaduan bukanlah ‘zero sum game’ yang hanya memperhebat kekuatan Melayu sambil menghina kaum lain.

Back to top button