
Juara dunia disambut meriah!
SUASANA di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi bertukar meriah apabila wira baharu badminton negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, pulang dengan gelaran juara dunia pertama beregu campuran Malaysia.
Pasangan ranking keempat dunia itu mendarat jam 5.51 pagi menerusi pesawat Malaysia Airlines MH21 dengan wajah penuh ceria, melambai tangan kepada ratusan penyokong yang setia menunggu sejak awal pagi.
Turut pulang bersama mereka, beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah, yang muncul naib juara dunia selepas mengharungi final penuh dramatik di Paris, lapor Harian Metro.
Ketibaan mereka diraikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Ketua Setiausaha KBS, Datuk Ts Dr K Nagulendran, Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin serta Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam.
Lebih manis, ahli keluarga terdekat termasuk ibu Tang Jie, Chen Keat Siew, ibu bapa Ee Wei, Toh Kok Leong dan Jane Yeoh, serta bapa Thinaah, S Muralitharan, turut berada di balai ketibaan bagi menyambut detik penuh emosi itu.
Kelmarin, Tang Jie-Ee Wei mencetus sejarah gemilang pada sambutan Hari Merdeka apabila menundukkan gandingan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 21-15, 21-14 dalam masa hanya 40 minit di pentas final Kejohanan Dunia di Adidas Arena, Paris.
Sorakan “Merdeka!” bergema di arena tatkala pasangan negara itu mengesahkan kemenangan.
Ee Wei jelas tenang menguasai permainan di jaring manakala Tang Jie pula gah mengawal gelanggang belakang, sekali gus menjadikan mereka beregu campuran pertama Malaysia menjulang kejuaraan dunia.
Dalam pada itu, Pearly-Thinaah yang kini menghuni ranking kedua dunia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas tipis kepada pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, 14-21, 22-20, 17-21 dalam pertarungan sengit 83 minit.