Madani News

China sokong penuh penyertaan Malaysia dalam BRICS – Anwar

DATUK  Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sokongan tidak berbelah bagi Presiden China Xi Jinping susulan penyertaan Malaysia sebagai anggota penuh BRICS sebagai satu penghormatan besar.

Perdana Menteri berkata,  ia juga dukungan terhadap Malaysia untuk terus memainkan peranan penting di pentas dunia.

“Saya amat menghargai keikhlasan persahabatan yang dizahirkan Presiden Xi serta penghormatan yang diberikan kepada Malaysia.

“Meskipun kita sebuah negara kecil, keyakinan, saling percaya dan tekad bersama berupaya menjadi kekuatan besar untuk membentuk masa depan yang lebih aman, adil dan makmur,” katanya dalam hantaran di  Facebook.

BRICS yang ditubuhkan pada 2009 kini dianggotai 11 negara termasuk Brazil, Rusia, India, China, Mesir dan Afrika Selatan. Malaysia menjadi negara rakan BRICS pada awal tahun ini.

Terdahulu, Anwar mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi di Great Hall of the People, Beijing, semalam.

“Saya ucapkan tahniah atas kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025 yang berlangsung dengan penuh bersejarah.

“Pertemuan ini memperkukuh ikatan yang terjalin sejak lawatan negara Presiden Xi ke Malaysia pada April lalu, di mana kita menandatangani 31 MoU dan perjanjian. Alhamdulillah, saya dan Presiden Xi senada untuk terus memperkukuh persahabatan ini berteraskan kepercayaan, hormat dan keikhlasan,” katanya.

Anwar turut menyatakan hubungan Malaysia-China perlu diterjemah dengan pelaksanaan segera terhadap perkara yang telah dipersetujui.

“Hanya dengan tindakan pantas, hubungan istimewa ini dapat memberi impak yang lebih bermakna buat rakyat kedua-dua negara.

“Saya turut menyatakan sokongan terhadap usul dan idea yang digagaskan oleh Presiden Xi, khususnya Belt and Road Initiative (BRI) yang memperkukuh keterhubungan dunia serta Global Governance Initiative (GGI) yang dicetuskan dalam Sidang Kemuncak SCO kali ini,” ujarnya lagi.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut dengan nilai perdagangan dua hala tahun lalu mencecah 106 bilion dolar AS.

Anwar berkata, Malaysia komited memperkukuh eksport bernilai tinggi termasuk sektor elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, perubatan, farmaseutikal serta minyak dan gas.

Back to top button