Madani News

Pandangan Sultan Selangor selari dengan kerajaan – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim, menyambut baik titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang menekankan kepentingan mengekalkan warisan sejarah dan hala tuju masa depan Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata pandangan baginda itu selari dengan pendirian Kerajaan MADANI yang menekankan pembangunan berasaskan keseimbangan antara kemajuan dan pemeliharaan identiti masyarakat.

“Pandangan ini selari dengan pendirian Kerajaan MADANI yang teguh menekankan keperluan menghargai warisan sejarah serta merangka pembangunan yang adil dan seimbang.

“Kerajaan berpegang teguh bahawa setiap keputusan mesti berpaksi pada aspek kesejahteraan rakyat serta kelangsungan identiti masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Perumahan Mampu Milik Negara menegaskan beliau beriltizam memastikan pembangunan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat tanpa mengorbankan maruah, hak dan sejarah yang merupakan kepentingan nasional.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menitahkan supaya isu pembangunan semula Kampung Baru dikendalikan dengan teliti dan berhemah, dengan memberi keutamaan kepada kepentingan orang Melayu.

Baginda menegaskan tiada halangan untuk kawasan itu dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syaratnya harus jelas serta berpihak kepada orang Melayu, selain mengambil kira sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan berkenaan sejak tahun 1899.

Back to top button