
Rumah ibadat punca lencongan jalan, JKR tampil perjelaskan
JABATAN Kerja Raya (JKR) Klang tampil menjawab isu lencongan di Jalan Meru, Klang disebabkan binaan rumah ibadat yang tular di media sosial.
JKR menjelaskan, urusan penyenggaraan Jalan Persekutuan itu sudah diserah kepada pengendali Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) sejak 2018.
Penyerahan terbabit kata JKR Klang bagi kerja pembinaan LRT3 dan naik taraf jalan.
“Pada peringkat perancangan, terdapat reka bentuk baru jalan yang memerlukan perobohan struktur tokong (di hadapan) dan kuil (di belakang) terbabit.
“Tokong dan kuil itu berada di dalam Right of Way (ROW) LRT3. Bagaimanapun pihak LRT3 melalui Prasarana Malaysia Berhad hanya dapat mengambil sebahagian struktur kuil sahaja.
“Pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan JKR Klang telah turun padang pada 13 Mei lalu bagi meneliti isu ini kerana melibatkan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
JKR berkata, penerimaan jalan itu hanya boleh dilaksanakan setelah audit kriteria penerimaan jalan dilaksanakan oleh pihak Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ), Ibu Pejabat JKR Malaysia.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini jalan berkenaan masih belum diserahkan kepada pihak JKR oleh pihak LRT3 bagi tujuan penyenggaraan.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan, semakan pihak Jabatan Kejuruteraan MBDK mendapati, kedudukan kuil melencong itu sudah dirujuk kepada Pejabat Tanah Daerah Klang serta JKR.
MBDK juga telah merujuk perkara itu kepada pihak MIROS.