
Pembelian RON95 tidak dihadkan sekali sehari – MOF
KERAJAAN menegaskan bahawa tiada rancangan untuk menghadkan pembelian petrol RON95 kepada sekali sehari.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini berkata, laporan beberapa artikel media yang mendakwa kerajaan akan mengenakan had pembelian adalah tidak tepat.
“Walaupun sedang meneliti langkah untuk mengelakkan penyalahgunaan subsidi RON95, BUDI95 dilaksanakan dengan hasrat untuk memastikan keperluan harian rakyat Malaysia dapat dipenuhi.
“Had pembelian sekali sehari jelas tidak selaras dengan tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
MOF berkata, kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap laporan media yang memetik Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, bahawa pengguna tidak dibenarkan membeli RON95 lebih daripada sekali dalam sehari.
Menurut MOF, perkara tersebut hanyalah antara mekanisme yang dipertimbangkan bagi mengawal penyalahgunaan BUDI95, namun kerajaan menegaskan ia tidak akan dilaksanakan.