
Mykad rosak: JPN sedia lanjut tempoh masa operasi kaunter
LANJUTAN tempoh masa pembaharuan penggantian cip MyKAd rosak akan dilaksanakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sekiranya berlaku lonjakan permohonan mengenainya di operasi kaunter.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata arahan itu sudah dimaklumkan kepada pegawai JPN bagi memastikan semua urusan orang ramai dapat diselesaikan menjelang pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) hujung bulan ini.
“Saya sudah maklumkan kepada pegawai JPN, jika perlu tambah masa, mereka bersedia berbuat demikian sehingga semua urusan selesai.
“Saya sempat membuat tinjauan dan berinteraksi dengan orang ramai yang sedang berurusan dan saya melihat proses itu berjalan lancar,” katanya pada sidang media selepas meninjau kaunter di Ibu Pejabat JPN di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, dalam tinjauannya jumlah orang ramai yang mendapatkan khidmat di kaunter JPN semakin meningkat.
“Sehingga jam 9 pagi, angka giliran sudah mencecah 99, namun masih dianggap munasabah kerana permohonan penggantian MyKad dapat diselesaikan pada hari sama.
“Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pengecualian caj RM10 bagi penggantian MyKad rosak bermula hari ini hingga 7 Oktober, dengan anggaran kos ditanggung kerajaan sebanyak RM714,660 berdasarkan purata 40,000 permohonan sebulan,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan rakyat tidak berdepan masalah ketika pelaksanaan BUDI95 pada 30 September ini.
Beliau turut memberi jaminan stok kad mencukupi dan JPN bersedia menguruskan peningkatan permohonan tanpa sebarang gangguan.
Semalam, kerajaan mengumumkan penggantian MyKad percuma bagi individu yang mengalami masalah cip rosak pada kad pengenalan mereka bermula hari ini sehingga 7 Oktober.
Penukaran boleh dilakukan di mana-mana kaunter JPN di seluruh negara.