
3 pakar forensik dokumen dikemuka peguam ibu Zara Qairina untuk kaji dokumen mahkamah
TIGA pakar forensik dokumen yang dikemukakan oleh pasukan peguam kepada ibu Zara Qairina Mahathir telah tiba di Mahkamah Koroner di sini bagi menjalankan pemeriksaan terhadap dokumen berkaitan kes kematian kanak-kanak itu.
Tiga pakar yang dibawa khas dari Kuala Lumpur ialah Pemeriksa Dokumen Forensik Bebas, Tay Eue Kam; Pensyarah dan Penyelidik Kanan Program Sains Forensik, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Dzulkiflee Ismail; dan Dr Wan Nur Syuhaila Mat Desa, juga dari Program Sains Forensik USM, lapor Sinar Harian.
Menurut wakil pasukan peguam ibu Zara Qairina, Syarulnizam Mohd Salleh, ketiga-tiga pakar tersebut telah berada di mahkamah bagi memulakan persediaan awal peralatan forensik mereka.
“Mereka membawa beberapa peralatan forensik makmal mudah alih dari Kuala Lumpur ke sini. Identiti mereka ialah Puan Tay Eue Kam, pemeriksa dokumen berpengalaman daripada PHA dan penganalisis tulisan tangan, serta dua doktor daripada USM, Dr Dzulkiflee Ismail dan Dr Wan Nur Syuhaila dari Program Sains Forensik.
“Apa yang ingin kami capai menerusi kehadiran pemeriksa dokumen ini adalah untuk memeriksa lebih banyak aspek berkaitan dokumen yang telah ditanda dan ditender di mahkamah,” katanya.