Madani News

Resolusi konvensyen UMNO: PLANMalaysia sambut baik

Oleh Johari Osman

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) menyambut baik resolusi yang dibentangkan dalam Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (URA) anjuran UMNO, hari ini.

PLANMalaysia dalam kenyataan berkata, memuji konvensyen yang menzahirkan komitmen parti tersebut dalam mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi rakyat, khususnya berkaitan isu pembaharuan semula bandar dan kesejahteraan masyarakat bandar.

Ia mengambil maklum bahawa peningkatan pesat kadar urbanisasi negara daripada 28.4% pada tahun 1970 kepada 75.8% pada tahun 2024, telah mewujudkan cabaran besar terhadap keperluan pembaharuan semula kawasan bandar.

Jelasnya, situasi ini menuntut pendekatan yang lebih komprehensif, terancang dan berorientasikan rakyat, bagi mengelakkan pengulangan isu-isu seperti bangunan usang, tidak selamat diduduki, projek terbengkalai, konflik penduduk, pampasan yang tidak setara, serta pengabaian hak dan kepentingan penduduk asal.

Selaras dengan mandat sebagai agensi perancangan pembangunan negara, PLANMalaysia berkata akan meneliti setiap resolusi yang dikemukakan dalam konvensyen tersebut, termasuk cadangan berkaitan penambahbaikan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB), dengan memastikan ia seiring dengan prinsip perancangan bandar dan desa yang mampan, inklusif dan adil kepada semua pihak.

“PLANMalaysia menyambut baik resolusi Konvensyen URA kerana ia bertepatan dengan usaha kerajaan memperkukuh agenda pembaharuan semula bandar.

“PLANMalaysia komited memastikan setiap cadangan diteliti agar selaras dengan dasar sedia ada serta memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat,” katanya, hari ini.

PLANMalaysia juga berpandangan bahawa sebarang pelan pembaharuan semula bandar perlu mengambil kira keunikanps setiap kawasan, termasuk ciri-ciri penempatan, demografi penduduk, adat resam serta kepentingan awam.

Oleh itu, menurutnya, input dan resolusi yang dicetuskan dalam konvensyen ini akan dijadikan bahan rujukan penting dalam proses penggubalan dasar serta pewujudan rangka kerja perundangan baharu yang lebih efektif.

Jabatan turut menegaskan bahawa sebarang inisiatif pembaharuan semula bandar tidak boleh hanya didorong oleh keuntungan pihak tertentu, tetapi harus berteraskan kesejahteraan rakyat serta keseimbangan antara kepentingan pemilik tanah, komuniti setempat dan pembangunan negara secara keseluruhan.

PLANMalaysia akan terus mengutamakan proses libat urus serta cadangan dan pandangan daripada semua pihak berkepentingan bagi memastikan RUU PSB yang digubal adalah menyeluruh, adil dan berkesan.

PLANMalaysia juga yakin dan percaya bahawa kolaborasi erat antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pemaju, masyarakat sivil, institusi akademik serta parti politik adalah kunci kepada pembangunan bandar yang lebih teratur dan mampan.

Dalam konteks ini, konvensyen URA menjadi wadah penting untuk membina kefahaman bersama dan merumuskan penyelesaian praktikal demi kepentingan rakyat dan negara.

Sehubungan itu, PLANMalaysia sekali lagi merakamkan penghargaan terhadap inisiatif UMNO dalam menganjurkan Konvensyen URA dan menegaskan komitmen jabatan untuk mengkaji serta mempertimbangkan resolusi yang telah dibentangkan demi memperkukuh agenda pembaharuan semula bandar yang lebih tersusun, seimbang dan mampan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Back to top button