Madani News

Bebas, 23 sukarelawan Malaysia dijangka pulang esok – PM

23 AKTIVIS dan sukarelawan Malaysia yang ditahan rejim Zionis Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) telah dibebaskan dan kini dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ramon, selatan Israel, sebelum diterbangkan ke Istanbul.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kumpulan berkenaan dijangka pulang ke tanah air seawal malam esok selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Istanbul.

“Alhamdulillah, kesemua 23 aktivis kini dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel.

“Mereka akan menaiki pesawat khas dari Turkiye ke Istanbul,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook, hari ini.

Anwar menjelaskan, pembebasan tersebut merupakan hasil usaha diplomatik berterusan yang melibatkan pelbagai pihak antarabangsa, termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio; wakil khas Presiden AS, Steve Witkoff serta Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani.

Menurutnya, para sukarelawan berkenaan akan berada di Istanbul antara satu hingga satu setengah hari untuk menjalani saringan kesihatan selepas melalui tekanan serta tindakan keras daripada rejim Zionis.

“Saya setuju mereka akan berlepas pulang (ke Malaysia) esok malam atau lusa. Hal itu sedang kita atur.

“Berita ini sangat menyenangkan dan dalam rundingan ini saya tidak mengetepikan keselamatan rakyat kita serta Türkiye. Kita turut membincangkan mengenai aktivis dari negara lain termasuk Eropah, Indonesia dan negara bersama dalam Global Sumud Flotilla,” katanya.

Anwar turut memaklumkan bahawa tiga daripada aktivis Malaysia pada awalnya enggan menandatangani arahan pengusiran dari Israel, namun setelah berbincang, mereka akhirnya bersetuju.

“Pendapat kita adalah untuk mereka pulang, dan kita juga berbincang dengan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim, bagi mengajak semua pulang serta menyusun strategi berikutnya,” katanya.

“Alhamdulillah, mereka kini dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Ramon. Kita doakan agar perjalanan mereka ke Istanbul dan seterusnya pulang ke Malaysia berjalan lancar,” katanya.

Back to top button