Malaysian News

Telefon bimbit simbol penghargaan terhadap keberanian – Fahmi

KERAJAAN menyumbang telefon bimbit kepada 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza sebagai simbol peghargaan terhadap keberanian.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia tanda terima kasih kerajaan kepada para sukarelawan yang telah membawa nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan dalam misi kemanusiaan berkenaan.

Jelasnya, sumbangan itu bukan sekadar bantuan peralatan, tetapi simbol penghargaan terhadap keberanian, ketabahan dan semangat kemanusiaan yang ditunjukkan oleh sukarelawan sepanjang misi berlangsung.

“Sumbangan ini diharap dapat memudahkan urusan komunikasi dan peribadi mereka selepas pulang ke tanah air, serta membantu para sukarelawan berkongsi pengalaman dan maklumat misi melalui saluran digital dengan lebih berkesan,” katanya.

Menurut Fahmi, usaha dan semangat para sukarelawan yang berdepan pelbagai cabaran ketika berlayar ke Gaza amat dihargai kerajaan.

Ketibaan kumpulan sukarelawan itu di tanah air turut disambut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli keluarga masing-masing.

Penerbangan Emirates EK342 yang membawa 27 sukarelawan Malaysia, termasuk empat peserta kapal pemerhati dan lima peguam, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10.07 malam, Selasa lalu.

Terdahulu, pada 2 Oktober, rejim Israel telah memintas konvoi 42 kapal misi kemanusiaan GSF yang dalam perjalanan ke Gaza dan menahan 495 aktivis, termasuk 23 rakyat Malaysia. Kesemua mereka dibebaskan secara berperingkat bermula 4 Oktober.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan akan menggantikan telefon bimbit milik sukarelawan yang terpaksa dibuang ke laut mengikut prosedur operasi standard (SOP) keselamatan misi sebelum pelayaran.

Langkah itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya kapal ditahan oleh tentera Israel. Setiap delegasi misi telah menerima taklimat dan menjalani latihan praktikal sebelum berlepas bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin sepanjang pelayaran.

Back to top button