
Diplomasi antarabangsa PM, Wisma Putra bawa pulang 23 sukarelawan dengan selamat
PERANAN dan usaha diplomatik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Wisma Putra menjadi kunci kepada pembebasan 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan Israel dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat kerajaan Malaysia dengan rakan strategik serantau seperti Turkiye, Mesir dan Jordan yang memainkan peranan penting dalam menyelaras urusan pelepasan serta pemindahan sukarelawan dari Israel ke Istanbul.
“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu sehingga sahabat-sahabat kita kembali dengan selamat malam ini,” katanya pada sidang media khas di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.
Mohamad menjelaskan, misi berkenaan hanya bertujuan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, namun kapal mereka dipintas dan ditahan oleh rejim Israel di perairan antarabangsa.
“Mereka tidak menuju ke Israel, mereka menuju ke Gaza tetapi dipintas dan dibawa ke Israel sebelum urusan pelepasan diselesaikan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan penganjur GSF merancang untuk meneruskan misi bantuan ke Gaza melalui gelombang kedua dan ketiga, namun menegaskan aspek keselamatan perlu menjadi keutamaan.
Ketibaan kumpulan sukarelawan malam tadi disambut penuh emosi dengan bacaan doa kesyukuran diketuai Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Ahmad Fauwaz Fadzil.
Lebih 500 ahli keluarga, rakan dan penyokong hadir di KLIA bagi menyambut mereka.
Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Duta Besar Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yüksel; wakil Kedutaan Palestin; serta Ketua Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) merangkap Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Al-Kahery.
Antara sukarelawan yang tiba malam tadi ialah Heliza Helmi, Nur Hazwani Afiqah, Nurfarahin Romli (Farah Lee), Danish Nazran Murad, Zizi Kirana, Musa Nuwayri, Iylia Balqis, Sul Aidil, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin, Rusydi Ramli dan Razali Awang.