
Kerajaan teliti keputusan mahkamah tuntutan 40 peratus hasil Sabah- PM
KERAJAAN menyerahkan kepada Peguam Negara untuk meneliti keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Kerajaan Persekutuan menghormati keputusan itu dan komited untuk meneliti alasan penghakiman tersebut sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
Bagaimanapun, Anwar menyangkal tanggapan bahawa Kerajaan Persekutuan hanya mengambil hasil Sabah tanpa menyumbang kepada pembangunannya.
“Keputusan ini diambil serius oleh Kerajaan Persekutuan. Namun yang memusykilkan adalah keputusan itu mengundang tafsiran yang mengelirukan, seolah-olah Kerajaan Persekutuan ini dan sebelumnya hanya menyedut hasil Sabah dan tidak menyumbang kepada pembangunan Sabah,” kata Anwar pada sesi penerangan khas di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebagai menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung, Anwar berkata, kerajaan tidak boleh memperincikan perkara yang masih dalam pertikaian mahkamah.
Walau bagaimanapun, bagi menjawab segala tohmahan, Perdana Menteri menyatakan komitmen penuh kerajaan dalam memenuhi segala obligasi kepada Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, kerajaan pimpinannya telah mencapai kejayaan positif dalam menyelesaikan banyak isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sebanyak 13 tuntutan di bawah MA63 telah berjaya diselesaikan, termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Berhad kepada kerajaan negeri.
“Selepas menyerahkan kuasa tersebut, Kerajaan Persekutuan masih tetap menyediakan peruntukan RM1.2 bilion untuk menjamin kelangsungan bekalan elektrik di Sabah,” katanya.
Selain itu, Anwar turut menyenaraikan beberapa inisiatif lain seperti pengiktirafan terhadap jabatan teknikal di Sabah serta pemberian kuasa melulus bagi perolehan projek Persekutuan sehingga RM50 juta.