
Sidang Kemuncak ASEAN: Penutupan jalan berperingkat sekitar ibu negara
BEBERAPA jalan di sekitar ibu negara akan ditutup secara sementara dan berperingkat sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan, penutupan jalan tersebut hanya akan dilakukan pada waktu-waktu tertentu dan bertujuan untuk melancarkan pergerakan para delegasi ke lokasi acara.
“Secara amnya, jalan-jalan yang terlibat akan ditutup secara berperingkat dan hanya untuk sementara waktu.
“Namun, di kawasan sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, akses akan dihadkan, terutamanya pada Ahad (26 Oktober).
“Langkah ini diambil bagi memudahkan pergerakan para delegasi ke lokasi persidangan,” katanya.
Fahmi berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan tinjauan ke Pusat Media Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Beliau turut menyeru agar stesen penyiaran televisyen, radio serta agensi berita terus menyalurkan maklumat berkaitan penutupan jalan kepada orang ramai secara berterusan.
Dalam perkembangan berkaitan, lebih 290 agensi media akan membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, dengan kehadiran seramai 1,277 petugas media asing yang telah berdaftar.
Fahmi memaklumkan, wakil media dari Jepun mencatatkan jumlah tertinggi dengan 314 orang, diikuti Amerika Syarikat (181) dan Republik Korea (101).
Filipina juga menghantar delegasi media yang besar memandangkan negara itu bakal memegang kerusi Pengerusi ASEAN selepas sidang kemuncak ini.
Sidang kemuncak kali ini membawa tema Keterangkuman dan Kemampanan dan bakal menjadi penutup kepada kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini.
Antara pemimpin dunia yang dijangka hadir ialah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
Turut serta ialah pemimpin dari rantau ini termasuk Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, Ketua Junta Myanmar, Min Aung Hlaing, Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr., Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone serta pemimpin Timor-Leste, Jose Alexandre Gusmao.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah penganjuran blok serantau itu.