
Kerajaan MADANI terus menjadi keutamaan Kerajaan MADANI – Zahid
KERAJAAN MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus memberi keutamaan kepada agenda pembangunan Sabah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perkara itu ditegaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, ia selaras dengan komitmen Perdana Menteri yang menjelaskan dengan tuntas mengenai komitmen kerajaan dalam menunaikan tanggungjawab perlembagaan terhadap Sabah serta memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan undang-undang, prinsip keadilan dan semangat perpaduan.
“Sejak awal pentadbiran, Kerajaan MADANI telah menunjukkan iltizam yang jelas dalam memperkukuh hubungan Persekutuan-Negeri, termasuk peningkatan peruntukan pembangunan dan pelaksanaan pelbagai projek strategik demi kesejahteraan rakyat Sabah,” kata Presiden UMNO itu dalam hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi Ucapan Penerangan Pendirian Kerajaan MADANI berhubung Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah yang disampaikan oleh Perdana Menteri di Parlimen, semalam.
Ahmad Zahid menambah, kesepakatan berteraskan kepercayaan dan saling menghormati antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus menjadi asas kepada kemajuan serta perpaduan Sabah dan Malaysia secara keseluruhan.
“Insya-Allah, komitmen ini akan terus diperkukuh demi memastikan pembangunan Sabah berjalan seiring dengan kemajuan negara,” katanya.