
Putin hantar TPM ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 — Anwar
PRESIDEN Russia Vladimir Putin tidak akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober ini, sebaliknya akan diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri Russia, Alexander Novak.
Perkara itu disahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata, Putin memaklumkan dan sedia mempertimbangkan kehadiran beliau pada tahun hadapan.
“Presiden Putin mengesahkan bahawa beliau tidak akan hadir. Beliau sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk datang pada tahun berikutnya. Beliau akan diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri Russia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat khas media dengan wartawan tempatan dan antarabangsa di sini malam tadi, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Pengesahan itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan kehadiran Putin selepas Presiden Russia itu sebelum ini memaklumkan kepada Anwar bahawa beliau “mempertimbangkan dengan serius” kehadiran ke perhimpunan serantau berkenaan.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijangka menghimpunkan beberapa pemimpin utama dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump serta pemimpin dari China, Jepun dan negara anggota ASEAN lain.
Anwar turut mengesahkan bahawa Pemangku Presiden Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing tidak akan menghadiri sidang kemuncak tersebut sambil menegaskan pendirian ASEAN terhadap Konsensus Lima Perkara berhubung krisis politik di negara itu.
Dalam perkembangan lain, Anwar menzahirkan penghargaan terhadap sokongan proaktif Jepun dalam usaha pembinaan semula Gaza selepas gencatan senjata yang dicapai baru-baru ini, selain menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa menerusi kerangka Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA).
“Saya berharap perkara ini dapat dibincangkan dengan Perdana Menteri Jepun yang baharu Sanae Takaichi, kerana inisiatif ini asalnya dicetuskan oleh Perdana Menteri (Shigeru) Ishiba. Kami telah mencapai kesepakatan dan kini sedang bersama-sama melaksanakannya,” katanya.
Anwar berkata, kesediaan Jepun untuk terbabit dalam usaha pembinaan semula itu wajar diberi pengiktirafan, khususnya atas sokongan yang berterusan dalam usaha kemanusiaan.
“Perkara ini wajar dihormati dan diberi perhatian bahawa Jepun benar-benar serius dalam usaha membantu pembinaan semula Gaza,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan bahawa isu penipuan dalam talian rentas sempadan akan menjadi antara agenda penting sidang kemuncak kali ini apabila pemimpin serantau berusaha memperkukuh tindakan bersama menangani ancaman yang semakin membimbangkan.
“Isu ini telah dibincangkan dalam mesyuarat dua hala dan serantau dengan beberapa jaminan telah diberikan. Hal ini akan dibangkitkan sekali lagi pada sidang kemuncak kali ini kerana isu berkenaan memberikan kesan langsung terhadap kestabilan, kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan rantau ini,” katanya.
Perdana Menteri turut dijangka mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan pemimpin dunia bagi membincangkan isu perdagangan, keselamatan serantau serta kerjasama bantuan kemanusiaan sepanjang sidang kemuncak berkenaan.