
Baca penuh perjanjian, bukan ambil sekerat- Pesan Zafrul pada Azmin
MENTERI Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz meminta Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membaca penuh Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
Beliau membidas bekas menteri perdagangan antarabangsa dan Industri itu yang mendakwa ART telah mengadai kedaulatan negara.
Sebaliknya Zafrul menjelaskan klausa yang dipetik ialah klausa 5.1 dan cuma memetik ayat pertama serta sebahagian ayat kedua.
“Kalau baca perjanjian, kita kena baca penuh, jangan baca sekerat. Klausa yang dipetik ialah Klausa 5.1. Apa kandungan klausa 5.1? dan dia cuma petik ayat pertama dan sebahagian ayat kedua.
“Kononnya kalau Amerika Syarikat (AS) kenakan sekatan kepada mana-mana negara, Malaysia ini automatik kena ikut.
“Jom, kita baca sama-sama Klausa ini,” katanya dalam satu hantaran video di Facebooknya.
Zafrul menjelaskan kandungan klausa tersebut menyebut: “Selepas menerima notifikasi sedemikian daripada Amerika Syarikat, Malaysia hendaklah mengguna pakai atau mengekalkan satu langkah yang mempunyai kesan sekatan yang setara dengan langkah yang diambil oleh Amerika Syarikat atau bersetuju dengan satu garis masa pelaksanaan yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak bagi menangani kebimbangan bersama berkaitan ekonomi atau keselamatan negara”.
“Saya ulang frasa terakhir untuk menangani masalah ekonomi berkongsi atau keselamatan negara. Apa maksudnya? Maksudnya, sekatan ini perlu untuk menangani isu keselamatan negara dan ekonomi bersama,” jelas Zafrul.
Dua hari lalu, Azmin dilaporkan berkata ART yang ditandatangani Malaysia dilihat bukanlah satu bentuk timbal balik seperti yang digambarkan, sebaliknya merupakan satu bentuk penyerahan terhadap AS.
Azmin berkata, Malaysia memberikan terlalu banyak kawalan terhadap ekonominya manakala AS kekal bebas menentukan dasar yang menguntungkan industri mereka sendiri.


