
Tandatangan ACFTA dengan China bukti Malaysia tidak takut Amerika
MALAYSIA menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya takut dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) yang ditandatangani hari ini menjadi bukti bahawa blok kerjasama 11 negara ASEAN termasuk Malaysia tidak takut terhadap AS.
“Kalau kita takut dgn AS, mana mungkin kita ‘sign’ (menandatangani ACFTA 3.0) dengan China,” katanya ketika sidang media sempena penutupan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di ibu negara, hari ini.
Perdana Menteri turut menegaskan, Malaysia mempertahan sikap sederhana dan ‘centrality’ yang bermakna negara ini boleh berhubung dan berkawan dengan semua.
“Ada kata mengapa kita memihak kepada China, tetapi (saya kata) kita (juga) baik dgn AS… mengapa terlalu (beriya) sambut AS, (saya kata) kita baik dengan Brazil dan Afrika Selatan… mengapa pula baik dengan EU (Kesatuan Eropah), kerana perdagangan dan pelabaran negara itu penting.
“Keputusan dibuat (Malaysia dalam soal hubungan mengambil kirta kepentingan) menjaga imej negara, ekonomi, pelaburan dan lebih penting menjamin manfaat kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi ASEAN 2025 menegaskan dasar luar Malaysia berasaskan prinsip saling menghormati dan maruah negara, bukan kerana kekayaan atau kedudukan sesebuah negara.
“Kita berkawan bukan sebab negara itu kaya atau miskin, tapi kerana menghormati maruah dan kedaulatan mereka,” katanya.
Tegas Anwar, setiap pertemuan dengan pemimpin dunia digunakan untuk memperjuangkan kepentingan umat dan kemanusiaan termasuk isu Palestin.
“Kita bukan menyerah. Bila saya jumpa Presiden Donald Trump, saya nyatakan dengan jelas — hentikan serangan, hormati hak rakyat Palestin. Kita sampaikan terus, bukan sekadar jerit dari jauh,” katanya.


