Gov News

Perjanjian ART tidak gadai kedaulatan negara – AGC

JABATAN Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara Malaysia dan Amerika Syarikat (ART) tidak menggadaikan kedaulatan negara, sebaliknya mengandungi beberapa peruntukan yang melindungi kepentingan serta mempertahankan kedaulatan Malaysia pada setiap masa.

AGC dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, pelaksanaan kewajipan dan komitmen di bawah ART adalah tertakluk kepada undang-undang serta tatacara domestik Malaysia yang terpakai sebagaimana diperuntukkan dalam Artikel 7.2 ART.

Menurut AGC, Artikel 7.2 juga memperuntukkan bahawa perjanjian tersebut hanya akan berkuat kuasa 60 hari selepas pihak-pihak bertukar pemberitahuan bertulis yang mengesahkan bahawa tatacara perundangan domestik berkaitan telah selesai dilaksanakan.

Selain itu, ART turut memperuntukkan rundingan dengan suci hati antara Malaysia dan Amerika Syarikat bagi menyelesaikan isu berkaitan pelaksanaan perjanjian tersebut sebelum mana-mana pihak boleh mengambil tindakan terhadap pihak yang satu lagi berdasarkan Artikel 7.4(2).

”Malaysia juga mempunyai hak untuk menamatkan perjanjian ini pada bila-bila masa melalui pemberitahuan bertulis kepada Amerika Syarikat tanpa perlu mendapatkan persetujuan Amerika Syarikat berdasarkan Artikel 7.5 ART.

“Semua perlindungan ini bertujuan untuk mempertahankan dan memelihara kedaulatan Malaysia serta melindungi kepentingan negara pada setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan.

Walau apa pun, katanya, Artikel 7.1 ART menyebut bahawa Malaysia dan Amerika Syarikat sebagai Negara Ahli kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) akan terus mengiktiraf hak dan kewajipan masing-masing serta perlindungan yang diperuntukkan di bawah Perjanjian WTO yang menetapkan piawaian bagi perdagangan antarabangsa.

Pada 26 Oktober lalu, Malaysia dan Amerika Syarikat menandatangani perjanjian yang memperuntukkan liberalisasi barangan, perkhidmatan dan pelaburan yang mengandungi tujuh seksyen serta empat lampiran.

Perjanjian itu merupakan cadangan Amerika Syarikat bagi merunding semula tarif yang dikenakan ke atas Malaysia daripada 25 peratus di bawah Executive Order 14257 yang dikeluarkan Presiden Donald Trump pada 2 April 2025 kepada 19 peratus.

Back to top button