
Petronas, Petros giat perincikan Deklarasi Bersama – Azalina
PETRONAS giat melaksanakan rundingan bersama Petros bagi memperincikan Deklarasi Bersama yang dimeterai antara kedua-dua pihak pada 21 Mei lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, proses rundingan itu mengambil masa kerana ia perlu mempertimbangkan prinsip komersial, kepentingan bersama dan kelestarian industri minyak serta gas negara.
Jelasnya, rundingan berkenaan juga bertujuan mewujudkan kerangka kerjasama yang lebih strategik, inklusif dan saksama untuk jangka panjang.
Dalam konteks itu, beliau menjelaskan bahawa prinsip utama penyelarasan ialah semua undang-undang Persekutuan dan Sarawak yang berkaitan dengan pengagihan gas di negeri tersebut hendaklah wujud bersama serta dihormati oleh semua pihak yang menjalankan aktiviti berkaitan di Sarawak.
“Seterusnya bagi kepentingan negara, Petronas perlu diberi ruang untuk terus melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya seperti yang diperuntukkan bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144), merangkumi aktiviti huluan hinggalah penjualan gas asli cecair (LNG) ke pasaran antarabangsa.
“Selain itu, Petros dilantik sebagai aggregator gas bagi pasaran domestik Sarawak, berkuat kuasa 1 Mac 2025.
“Pelantikan ini akan dihormati dan disokong oleh semua pemain industri terbabit dalam pengedaran serta pembekalan gas kepada pengguna dalam negeri,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN–Pendang) mengenai status terkini rundingan hak minyak dan gas antara Petronas dan Kerajaan Sarawak, serta penyelesaian terhadap sebarang prospek pertikaian.
Mengulas lanjut, Azalina menjelaskan, satu lagi prinsip utama penyelarasan ialah sebarang perjanjian atau kontrak sedia ada dan pada masa depan yang membabitkan Petronas dan/atau anak syarikatnya dengan pihak ketiga bagi tujuan penjualan LNG (merangkumi sektor huluan hingga ke pengeksportan LNG), akan terus terpelihara sepenuhnya, tidak terjejas serta kekal berkuat kuasa.
“Petronas masih tetap berusaha menyelesaikan perkara ini melalui pendekatan rundingan dan kolaboratif, dengan memastikan kepentingan semua pihak berkepentingan sentiasa terpelihara.
“Di samping itu, mengekalkan kestabilan serta kelestarian industri minyak dan gas negara keseluruhannya,” katanya.


