“KALAU tak tahu selok-belok kampung orang, jangan tunjuk jalan.” Nampaknya Perikatan Nasional (PN) belum faham politik Sabah bukan sekadar pakai baju Melayu, salam dua jari dan janji bulan bintang. Negeri di Bawah Bayu ini bukan padang ragut untuk sebarang gembala politik menghulur roti Gardenia dan mengharap undi bergolek masuk bak durian runtuh.
Malangnya, itulah yang tergambar apabila ADUN Kuala Ketil dari PAS, Mansor Zakaria, tanpa segan silu menyatakan kempen di Sabah cukup sekadar hulur roti. Barangkali beliau lupa, rakyat Sabah bukan lapar roti, tapi kenyang dengan janji yang tidak tertunai.
Penganalisis politik, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, kempen PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini dihantui ‘roti Gardenia’ yang pastinya telah mengguris hati dan perasaan rakyat Sabah.
“Rakyat Sabah bukan jenis beli janji atau isi perut dengan kempen kosong. Mereka celik, berprinsip dan lebih cermat dari apa yang pemimpin PN sangka.
“Bagi saya kenyataan ADUN PN itu bukan sahaja biadab, malah menghina maruah rakyat Sabah, seolah-olah undi mereka boleh dibeli dengan roti. Ia mencerminkan betapa jauhnya pemahaman sesetengah pemimpin PN terhadap sensitiviti dan martabat masyarakat Sabah.
“Saya yakin sebenarnya sudah ‘game over’, kempen PN sudah tidak bermakna kerana perasaan rakyat Sabah telah terguris dan PN kemungkinan besar tidak menang satu kerusi pun di Sabah kali ini,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Azhar, peluang kini terbuka untuk parti lain seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan dengan syarat mereka tidak terikut gaya politik ‘roti kilang’ yang hanya kenyang sementara tapi kosong isi.
Jelasnya, di Sabah, faktor etnik, negeri asal dan isu hak negeri sentiasa memainkan peranan. Jadi setiap parti bertanding perlu benarbenar faham realiti Sabah, bukan hanya tahu mengimport strategi dari Semenanjung.
“Rakyat Sabah mahu kempen yang masuk dalam kepala, bukan hanya masuk cerita. “Siapa bijak, guna strategi tepat dia akan menang, contohnya pengundi Sabah akan lihat faktor calon itu sendiri, jasa dan visi parti yang cakna jaga kepentingan Sabah juga penting, kalau ramuan ini lengkap saya pasti rakyat Sabah akan undi calon tersebut.
“Ringkasnya, kalau datang ke Sabah bawa bekal persepsi, bukan solusi, silalah bersedia untuk pulang dengan tangan kosong. Atau lebih tepat, dengan plastik roti yang kosong,” katanya.
Kempen PRN17 Sabah bermula secara rasmi pada Sabtu sebaik sahaja selesai proses penamaan calon di 73 DUN. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 29 November bagi PRN17 Sabah manakala tarikh pengundian awal bagi pada 25 November.
Azhar yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas mengingatkan kepada parti-parti yang bertanding pada PRN Sabah bahawa pengundi di sana bukan mudah dibeli dengan kata-kata.
“Mereka tidak gemar suara import dari Semenanjung kerana mereka sudah lama rasa tertinggal, jadi bila ada parti yang cakap soal autonomi, hasil negeri, dan martabat Sabah, ia beri keyakinan yang lebih kuat.
“Tapi semua parti kena ingat, pengundi Sabah bukan mudah dibeli dengan kata-kata. Mereka tengok rekod, bukan retorik. Siapa turun padang, siapa bantu masa susah, siapa bawa suara mereka ke atas, itu yang akan jadi penentu sebenar,” katanya.




