
KDN teliti cadangan tempatkan polis di sekolah
KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji cadangan untuk menempatkan polis secara tetap atau separa tetap di sekolah yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan bahawa ketika ini Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah ditempatkan di sekolah rendah serta menengah di seluruh negara.
“PDRM mempunyai 10,435 PPS di 10,245 sekolah membabitkan 7,776 sekolah rendah dan 2,469 sekolah menengah tanpa mengira sama ada di bandar mahupun luar bandar,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, kementerian juga berusaha mempermudahkan proses membuat aduan sama ada oleh orang ramai mahupun pelajar.
“Ia melalui peti aduan murid dan ibu bapa, malah orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada PDRM melalui aplikasi.
“PDRM melalui PPS membuka ruang untuk mana-mana pihak membuat aduan. Kita bersedia untuk menerima maklumat bukan saja daripada pihak pentadbir, malah warga sekolah boleh memberi aduan terus kepada polis,” katanya.


