MALAYSIA dan Ethiopia akan berusaha sedaya upaya untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan, hubungan dua hala serta platform pelbagai hala.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan perbincangan dua hala yang menyeluruh serta pembabitan diplomatik akan menghasilkan asas ekonomi perdagangan, pelaburan dan hubungan yang kukuh, lapor Bernama.
“Sebagai sebuah negara perdagangan, langkah terbaik adalah untuk Malaysia meluaskan dan meneroka pasaran baharu terutamanya di Afrika, Amerika Latin dan seterusnya,” kata beliau pada sidang akhbar bersama rakan sejawatnya dari Ethiopia, Dr Abiy Ahmed.
Anwar berkata Ethiopia adalah lokasi strategik terutamanya dengan adanya ibu pejabat Kesatuan Afrika di Addis Ababa.
Kesatuan Afrika yang ditubuhkan pada Julai 2002 itu dan dianggotai 55 negara anggota adalah suara perwakilan bagi Afrika di pentas global dengan fungsi utamanya antara lainnya adalah untuk menggalakkan kerjasama antarabangsa.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Putrajaya akan turut menggunakan mekanisme seperti G20 untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan rakan tradisional seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China.
G20 dianggotai Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Republik Korea, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Turki, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Afrika dan Kesatuan Eropah.
Sementara itu, Abiy Ahmed menyifatkan perbincangan antara kedua-dua pemimpin itu sebagai produktif, berpandangan jauh, sekali gus memperlihatkan komitmen bersama Malaysia dan Ethiopia untuk memperkukuh kerjasama merentasi sektor utama.
“Kami membincangkan bidang kerjasama utama bermula dengan perindustrian dan pelaburan. Ethiopia berusaha untuk belajar daripada kejayaan perindustrian Malaysia dan menarik pelaburan dalam sektor taman perindustrian, pemprosesan pertanian dan elektronik kita.
“Perbincangan kami juga meliputi isu ekonomi digital. Kami membincangkan tentang kewangan korporat dan digital, rangkuman kewangan dan inovasi berasaskan data.
“Kami ada ramai pekerja mahir, anak muda yang mahir, tetapi kami benar-benar ingin mempelajari pengalaman baharu tentang bagaimana kami dapat menghubungkan mereka kepada industri,” katanya.
Abiy Ahmed berkata lawatan Anwar itu menandakan era baharu dalam perkongsian Selatan-Selatan yang berasaskan nilai bersama iaitu keharmonian, keterangkuman dan solidariti.
Beliau berkata kedua-dua negara juga memberi tumpuan kepada selatan global yang lebih terhubung dan saksama.
Kedua-dua pemimpin itu turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang kesihatan, perjanjian perkhidmatan udara serta kerjasama dalam pelancongan.
Antaranya termasuk dokumen kerjasama antara Majlis Bandaraya Kuala Lumpur dan Pentadbiran Bandaraya Addis Ababa, yang akan menyelaraskan mekanisme untuk mengekalkan dialog strategik, sekali gus menyediakan landasan bagi kolaborasi jangka panjang antara kedua-dua negara.
Ethiopia adalah persinggahan pertama dalam rangka lawatan Anwar ke benua Afrika.
Lawatan tiga hari Anwar bermula 18 November ke negara yang mendapat jolokan “Horn of Africa” itu merupakan julung kali bagi Perdana Menteri Malaysia selain merupakan lawatan balas susulan kunjungan rasmi Abiy Ahmed ke Malaysia pada Oktober tahun lepas.
Dari Addis Ababa, Perdana Menteri akan meneruskan lawatan kerja ke Johannesburg, Afrika Selatan, dari 20 hingga 23 November bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 dan kemudiannya ke Nairobi, Kenya dari 23 hingga 24 November, sebelum pulang ke tanah air.




