
Hujan lebat tahap buruk berterusan hingga Sabtu – MetMalaysia
JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di tujuh negeri sehingga Sabtu.
MetMalaysia berkata, antara yang terkesan ialah di Kedah (Kulim dan Bandar Baharu) serta seluruh Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Pahang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya.
“Di Pahang, hanya Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Bentong yang terkesan.
“Untuk amaran hujan lebat berterusan (tahap waspada) pula melibatkan seluruh Kelantan, Negeri Sembilan dan Melaka manakala di Johor hanya Tangkak serta Segamat.
“Pahang juga terkesan di daerah Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin,” katanya.
MetMalaysia memaklumkan, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman sesawang rasmi jabatan, aplikasi myCuaca dan laman media sosial rasmi.
Talian hotline MetMalaysia, 1-300-22-1638 boleh dihubungi untuk sebarang pertanyaan lanjut.


