Pertahan Lahad Datu 2013 bukti ‘pemimpin Semenanjung’ sayang Sabah

Pertahan Lahad Datu 2013 bukti ‘pemimpin Semenanjung’ sayang Sabah

TRAGEDI berdarah insiden pencerobohan oleh puak Sulu dari Filipina pada tahun 2013 adalah bukti nyata “sayangnya” pemimpin Semenanjung kepada Sabah.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, individu yang mengarahkan supaya kedaulatan Sabah dipertahankan ketika itu ialah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Jelasnya, Najib adalah orang yang banyak berjasa mempertahankan Lahad Datuk daripada ancaman musuh.

“Di hujung jeti itulah kami berdua (bersama Tan Sri Jeneral Zulkifli Zain) membuat operasi untuk mempertahankan Lahad Datu, mempertahankan Felda Sahabat.

“Saya bukan mahu budi saya dikenang kerana itu tugas saya sebagai menteri pertahan. Datang daripada mana arahan untuk saya pertahan tempat ini?.

“Saya bertemu perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ketika itu, dialah yang banyak berjasa mempertahankan tempat ini. Malah di Resort Felda Sahabat ini, di situ Datuk Seri Najib buat keputusan supaya ESSCOM ditubuhkan untuk mempertahankan Felda Sahabat ini dan seluruh Lahad Datu hingga sekarang.

“Siapa kata orang Semenanjung tak sayang Sabah,” katanya ketika berucap di Felda Sahabat. 

Video ucapan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dimuatnaik di TikTok Felda.

Dalam insiden yang menjadi lipatan sejarah itu, Ahmad Zahid ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan di bawah kerajaan BN.

Insiden itu menyaksikan 10 pegawai polis dan seorang pegawai tentera meninggal dunia diserang pengganas Sulu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata orang Semenanjung tidak menganggap mereka orang Malaya kerana Sabah harus dipertahankan oleh orang Malaysia.

“Kita tidak anggap kita orang Semenanjung atau Malaya kerana Sabah harus dipertahankan oleh orang Malaysia,” katanya.