Malaysian News

Siapa di belakang Albert Tei?

TUN Dr Mahathir Mohamad didakwa merupakan individu ‘di belakang’ ahli perniagaan Datuk Albert Tei berikutan pendedahan skandal terbaru yang mengaitkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Dakwaan itu didedahkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang berkata, bekas Perdana Menteri dua kali itu sebagai dalang di sebalik pendedahan Tei.

Jelasnya, pendedahan terbaru Tei yang disiarkan di sebuah portal berita dibuat sehari selepas ahli perniagaan itu bertemu Dr Mahathir.

“Siapa di belakang Albert Tei? Biar gambar berbicara,” tulis Lokman di Facebooknya sambil memuatnaik gambar Dr Mahathir dan Tei.

Lokman turut memuatnaik tangkap layar komen yang ditinggalkannya di bahagian komen media sosial berhubung video pendedahan Tei yang mengaitkan isu berkenaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, Shamsul mengumumkan peletakan jawatan sebagai setiausaha politik kanan kepada Perdana Menteri susulan kontroversi dikaitkan dengannya.

Dalam satu hantaran di X, beliau memaklumkan surat peletakan jawatan telah diserahkan kepada Anwar pagi tadi.

“Saya difahamkan ada percubaan untuk menyerang saya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.

“Justeru, saya mengambil keputusan untuk mempertahankan diri saya daripada serangan ini.

“Saya juga pagi tadi telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Terima kasih Perdana Menteri di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya,” katanya di X.

Shamsul sebelum ini terpalit kontroversi berhubung surat sokongan bagi kontraktor dalam sebuah projek hospital.

Beberapa minit selepas Shamsul mengumumkan peletakan jawatan, sebuah portal berita menyiarkan pendedahan seorang ahli pernigaan berhubung salah laku pegawai kanan Anwar itu.

Back to top button