
Waspada! Ribut Tropika Senyar tiba di Malaysia malam ini
RIBUT tropika Senyar dijangka memasuki Semenanjung Malaysia tengah malam ini dengan membawa sekali hujan lebat luar biasa dan angin kencang.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd. Anip berkata, antara negeri yang dijangka menerima kesan ketara ribut berkenaan ialah sempadan antara Perak dan Selangor serta beberapa kawasan di Pahang.
Menurutnya, ribut tropika itu telah melanda Indonesia sejak pukul 3.30 petang tadi sebelum dijangka memasuki Semenanjung Malaysia dan seterusnya bergerak menuju ke Laut China Selatan.
“Ia dijangka melanda dalam tempoh 24 jam. Jika berlaku, ini akan menjadi ribut tropika ketiga terburuk melanda negara selepas Greg pada 1996 dan Vamei pada 2001.
“Ribut tropika ini dijangka berterusan sehingga Sabtu sebelum beredar selepas Ahad. Negeri yang sudah dilanda banjir pula dijangka mengalami keadaan lebih buruk kerana paras air sungai dan perairan ketika ini sudah tepu, selain turut membawa angin kencang serta laut bergelora,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MetMalaysia, hari ini.
Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran mengenai pembentukan ribut tropika yang dikesan pada kedudukan Latitud 3.7° Utara dan Longitud 98.6° Timur.
Ribut berkenaan dijangka bergerak ke arah Timur Tenggara dengan kelajuan kira-kira tujuh kilometer (km) sejam serta berpotensi membawa angin maksimum mencecah 65 km sejam.
Mohd Hisham berkata, ribut itu mula melanda Aceh dengan kekuatan angin 80 km sejam dan dijangka melemah kepada 50 km sejam apabila memasuki Semenanjung.
“Kelajuan angin biasa hanyalah 10 hingga 20 kilometer sejam. Ribut tropika akan menjadi lebih kuat jika menerima tenaga daripada hujan serta kelembapan,” katanya.


