
PRN Sabah: Pilih calon BN yang terbukti setia, berprinsip
RAKYAT Sabah diseru memilih calon Barisan Nasional (BN) yang sudah terbukti setia dan berprinsip pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan, BN telah menampilkan calon-calon yang boleh memimpin negeri itu sekali gus memberi jaminan mereka tidak akan mengecewakan rakyat Sabah dengan melakukan tindakan melompat parti.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, BN telah melalui proses tapisan yang ketat bagi memastikan hanya calon yang tulen, berjiwa perjuangan, dan sayang kepada parti diberi mandat untuk bertanding.
“Yang ada sekarang ialah calon yang genuine, yang original, yang sayang pada perjuangan BN. Walau ditekan dari mana sekalipun, mereka tidak akan lari,” katanya ketika berucap di program bersama jentera BN di DUN Lamag, semalam.
Turut serta calon BN Dun lamag yang juga Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Wan Rosdy seterusnya mengingatkan pengundi agar tidak terpengaruh dengan pelbagai sentimen serta persepsi yang dimainkan pihak tertentu menjelang saat akhir pengundian.
“Kita jangan terpengaruh dengan parti-parti lain yang hanya memainkan persepsi, sentimen, isu, dan fitnah. Itu kerja dia. Mereka akan buat apa saja untuk memastikan Datuk Bung. Tetapi saya sangat yakin, optimis, insya-Allah, Datuk Bung akan menang dengan kerja kuat dan sokongan tuan-tuan dan puan-puan,” katanya yang juga Menteri Besar Pahang.
Wan Rosdy seterusnya menzahirkan penghargaan terhadap semangat juang Datuk Seri Bung yang terus bangkit memperkukuh UMNO dan BN walaupun selepas kehilangan kuasa.
“Bukan mudah untuk membangkitkan semula sebuah parti selepas kalah. Tetapi atas kebijaksanaan dan semangat pahlawan Datuk Seri Bung Moktar, UMNO dan BN di Sabah kembali gagah berdiri,” katanya.


