Madani News

Peruntukan SARA akan ditambah selepas PRN Sabah – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim memaklumkan jumlah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan ditambah selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Perdana Menteri menjelaskan, ilham awal penambahbaikan bantuan itu datang daripada perbualannya dengan seorang wanita di Sulaman yang pernah mendoakan beliau menjadi Perdana Menteri sejak puluhan tahun lalu.

“Saya belajar tentang SARA bukan daripada ahli Parlimen atau menteri, tetapi daripada seorang kakak kampung di Sulaman. Kata-katanya datang dari hati, saya lihat mata dia… ia menyentuh perasaan saya,

“Kalau beginilah rakyat menghargainya, kita akan bekerja dengan lebih keras agar ekonomi kita akan berada di tahap lebih baik,” katanya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) ketika berucap pada Grand Finale Harapan Urang Sabah di Likas, malam tadi.

Perdana Menteri menegaskan kerajaan komited menambah jumlah SARA selepas PRN Sabah sebagai sebahagian usaha meringankan kos sara hidup rakyat.

Ketika berinteraksi dengan hadirin, Anwar turut bertanya mengenai penerimaan orang ramai terhadap bantuan itu dan sama ada mereka mahu ia diteruskan.

“Dapat Tunai Rahmah? Gembira? Ada dapat SARA? Mahu lagi SARA? Tambah lagi? Lepas pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, keamanan adalah asas yang tidak boleh dipisahkan daripada kemajuan sesebuah negara dan tanpa itu, segala usaha pembangunan akan terganggu mahupun terbantut.

Justeru, beliau yang juga Presiden PKR memaklumkan, rakyat pelbagai kaum dalam negara ini perlu sentiasa mengutamakan persefahaman dan berbincang bagi menyelesaikan perbezaan yang ada.

Anwar berkata, setelah mengadakan lawatan ke negara di Afrika baru-baru ini, beliau dapati pergolakan yang wujud antara kumpulan etnik di beberapa negara di benua itu telah membantutkan pembangunan yang akhirnya rakyatnya menanggung kesengsaraan itu.

“Saya minta kawan-kawan termasuk di Sabah, jangan pandang ringan… sebab sikit sahaja salah, pecah habis. Ekonomi habis, perniagaan habis, negara habis, jadi jaga keamanan.

“Tdak dinafikan setiap masyarakat dalam negara ini mempunyai cabarannya tersendiri, tetapi semua pihak perlu bersedia berunding dan mencari persamaan serta persefahaman,” katanya.

Back to top button