
Paras sungai meningkat, Zahid gesa orang ramai waspada
WASPADA! Peringatan kepada orang ramai supaya sentiasa cakna terhadap paras air sungai susulan sungai di beberapa negeri menunjukkan peningkatan ke tahap waspada, amaran dan bahaya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, situasi itu membabitkan sungai di Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Terengganu dan Kelantan berdasarkan laporan terkini Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Sekiranya berada berhampiran sungai, elakkan kawasan berisiko, terutama ketika hujan berterusan. Sentiasa peka dengan perkembangan cuaca, jauhi arus deras dan patuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
“Semoga kita semua dilindungi dan dipermudahkan urusan,” katanya di Facebook, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah turut memaklumkan, orang ramai boleh menyemak status semasa menerusi laman Public Info Banjir di publicinfobanjir.water.gov.my
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, satu lekukan tropika kini berada di Laut China Selatan dan dijangka tidak memberi kesan signifikan kepada Malaysia.
Agensi itu menyatakan, lekukan tropika berkenaan dikesan pada jam 8 pagi tadi dan bergerak ke arah timur timur laut dengan kelajuan 15 kilometer sejam.
Kelajuan angin maksimum direkodkan ialah 56 kilometer sejam dan jaraknya kira-kira 213 kilometer ke timur laut Dungun, Terengganu.


