
Perdana Menteri akan umum barisan baharu Menteri, Timbalan Menteri
DATUK Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan barisan baharu Kabinet kerajaan Madani selepas segala penelitian dibuat.
Perdana Menteri berkata, ia susulan kekosongan beberapa jawatan berikutan peletakan jawatan anggota Kabinetnya sebelum ini.
Rombakan Kabinet itu nanti dijangka akan membawa perubahan kepada jawatan menteri dan timbalan menteri.
“Dalam pada itu, YAB Perdana Menteri juga akan memutuskan senarai menteri dan timbalan menteri Kerajaan Madani kelak, selepas proses pertimbangan yang cermat, berhemah dan benar-benar berlandaskan kepentingan rakyat serta hala tuju reformasi negara,” kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini Anwar menegaskan tiada rombakan Kabinet secara besar-besar, sebaliknya hanya mengisi kekosongan yang ditinggalkan sebelum ini.
Ini kerana menurut Perdana Menteri, tempoh Kabinet di bawah pentadbirannya hanya akan berfungsi selama kira-kira satu setengah tahun saja lagi, sebelum penggal pentadbiran itu berakhir.
“Kita perlu mengisi beberapa kekosongan. Mungkin rombakan itu kalau ada masa yang panjang, tapi Kabinet ini hanya akan berfungsi satu setengah tahun saja.
“Jadi saya tidak fikir rombakan besar harus dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri menyambut baik pelantikan semula Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Dauk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua yang berkuat kuasa hari ini.
“Pelantikan ini membolehkan mereka meneruskan tugasan mustahak demi kesinambungan dasar, tatakelola dan agenda reformasi negara selaras dengan gagasan Malaysia Madani,” menurut kenyataan itu.


