Malaysian News

Rakan-rakan bantu jamin Shamsul Iskandar

BEKAS Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin membayar ikat jamin sebanyak RM150,000 yang ditetapkan Mahkamah Sesyen di sini hari ini menerusii kutipan dana yang digerakkan rakan-rakan serta pimpinan parti.

Peguamnya, Mohd. Yusmadi Yusoff ketika ditemui selepas prosiding pertuduhan rasuah membabitkan Shamsul Iskandar, 51, berkata, jumlah jaminan tersebut melebihi kemampuan kewangan anak guamnya, lapor Kosmo.

“Ini menyebabkan Shamsul terpaksa bergantung kepada sumbangan yang dikumpulkan secara pantas selepas prosiding pagi tadi. Shamsul tidak mampu menyediakan jaminan sebanyak itu, namun bantuan daripada pimpinan PKR dan sahabat-sahabatnya membolehkan perkara ini diselesaikan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes.

Terdahulu, Shamsul Iskandar tekad untuk membersihkan namanya selepas berdepan empat pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen hari ini.

Katanya, sejak siasatan bermula, beliau mengambil pendekatan proaktif dengan memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan yakin proses mahkamah akan membuktikan dirinya tidak bersalah.

Seorang lagi peguam mewakili Shamsul, Datuk Amer Hamzah Arshad mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi keterlaluan berhubung kes itu dan menegaskan anak guamnya akan mempertahankan diri melalui proses undang-undang.

Shamsul Iskandar mengaku tidak bersalah bagi keempat-empat pertuduhan itu di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri secara rasuah bersetuju menerima untuk dirinya suapan tunai RM100,000.00 daripada Tei Jiann Cheing atau Albert Tei.

Ia sebagai dorongan membantu syarikat-syarikat lelaki itu mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di negeri Sabah, walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.

Tertuduh turut didakwa memperoleh untuk dirinya sendiri wang RM40,000 daripada individu sama selain suapan iaitu kelengkapan perabot dan barangan elektrik masing-masing bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada individu sama.

Keempat-empat pertuduhan itu dikemukakan mengikut seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka itu diikat jamin RM150,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM sekali sebulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 8 Januari depan bagi sebutan semula kes. 

Back to top button