
Saya kehilangan seorang sahabat – Zahid
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi cukup terkesan dengan pemergian Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang disifatkannya sebagai sahabat sejati.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Bung Moktar adalah seorang yang setia kepada perjuangan dan sentiasa teguh berdiri saat susah mahupun senang.
“Ya Allah… luluh hati saya saat menerima khabar pemergian sahabat saya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang telah kembali ke rahmatullah pada awal pagi Jumaat yang penuh kemuliaan ini
“Hari ini, saya kehilangan seorang sahabat sejati yang begitu dekat di hati, seorang rakan seperjuangan yang sentiasa teguh berdiri di sisi dan seorang insan yang sentiasa setia menemani di setiap waktu senang dan susah.
“Sukar untuk saya mencari kata yang mampu menggambarkan rasa kehilangan ini. Yang tinggal hanyalah doa, mengiringi segala kenangan dan kebaikan yang telah beliau tinggalkan buat kami di dunia ini,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.
Bung Moktar meninggal dunia pada pukul 1.46 pagi tadi ketika menerima rawatan di hospital.
Kematian Bung dimaklumkan anaknya Naim Moktar dalam satu hantaran di Facebook.


