Malaysian News

Hishammuddin ‘juara’ ponteng Parlimen diikuti Hadi dan Shafie

AHLI Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein paling kerap “ponteng” daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat sepanjang 78 hari persidangan tahun ini.

Berdasarkan analisis yang dibuat New Straits Times (NST) mengikut senarai kehadiran dalam hansard bekas Menteri itu mencatat ketidakhadiran sebanyak 69 hari, dengan kadar kehadiran hanya 11.5 peratus.

Diikuti rapat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang tidak hadir selama 65 hari (kadar kehadiran 16.7 peratus), manakala Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula tidak hadir 60 hari, meninggalkannya dengan kadar kehadiran 23.1 peratus.

Untuk rekod, setiap ahli Parlimen menerima elaun RM400 sehari bagi setiap persidangan yang mereka hadiri.

NST melaporkan sebahagian ketidakhadiran Abdul Hadi merangkumi 11 hari yang dimaklumkan secara rasmi di bawah Peraturan Mesyuarat 91, yang mewajibkan ahli Parlimen memaklumkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat sekiranya tidak dapat hadir.

Peraturan itu berkait dengan Perkara 52 Perlembagaan Persekutuan, yang membenarkan Parlimen mengisytiharkan sesuatu kerusi kosong jika ahlinya tidak hadir ke setiap mesyuarat selama enam bulan tanpa kebenaran.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) mengetuai “kelab kehadiran sempurna” dengan 26 ahli Parlimen hadir pada semua hari persidangan, diikuti 17 daripada kerajaan perpaduan, dua lagi daripada blok pembangkang dan seorang daripada Muda.

Senarai itu merangkumi beberapa ahli Parlimen yang konsisten menyertai perbahasan, antaranya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Syerleena Abdul Rashid, Young Syefura Othman, Teresa Kok, Datuk Mohd Isam Mohd Isa, Datuk Dr Alias Razak dan Dr Siti Mastura Muhammad.

Beberapa menteri berpusat di Kuala Lumpur yang lazimnya mempunyai jadual padat turut muncul antara yang paling konsisten.

Johari Ghani antara Menteri paling tinggi kehadiran Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, hanya tidak hadir dua hari masing-masing, manakala Menteri Digital, Gobind Singh Deo tidak hadir selama 10 hari.

Back to top button